Monday, July 6, 2015

Catatan Ramadan 1436H #7 Apabila Tudung Bersuara

- bismillah -

Aku merenung lama ke dalam bebola kristal di atas rak. Segaja aku kocak airnya biar kristal-kristal itu berselerak, bergerak bebas berpusing mengikut arus air di dalam bebola itu. 

Cantik. Biarpun tidak tenang.

Aku teruja, tapi tak lama. Kristal-kristal tadi kembali mendap di bahagian bawah bebola. Aku goncang lagi, dan lagi. Seketika kemudian, keadaan kembali seperti asal. 

Tiada lagi keindahan kristal berkilau. Sekadar figura kaku dalam sebuah bebola berisi air. 

***
"Cantik awak hari ni!"
"Wah, dah tukar style..."
"Awak....nampak lain lah..."

Hati Aisyah berbunga. Dia menerima pujian daripada rakan-rakannya. 

Aina hanya mendengar. Dia kerisauan. Risau jika Aisyah terleka!

Keesokan harinya, Aisyah hadir ke kuliah dengan penampilan baru lagi. Lain daripada hari kebiasaannya. 

Pujian ditabur lagi. Hari ke hari. 

'Aisyah... Aku sampaikan ini untukmu.' Sebuah bungkusan diletakkan di atas meja Aisyah. 

"Dear Aisyah,

Suatu masa dulu, aku pernah melalui hari-hari seperti hari ini. Sebagaimana 4 musim berputar silih ganti, sebegitu juga ujian yang kita lalui. Kadang sama saja berulang, kadang bertukar orang yang diuji. 

Aku sekadar berkongsi rasa sambil menyulam benang nasihat paling halus agar tiada cela terlihat di atas kain dakwah ini. 

Apabila Tudung Bersuara

Tudung kita, bukan kain yang ada mulut untuk bersuara. Tapi Aisyah, tudung di kepala kita bagaikan pembesar suara yang membawa suara tuannya. 

Jika tuannya bersuara tegas, "jangan pandang aku dengan pandangan nafsu, malulah kepada Allah!", maka tudung itu tidak akan mengkhianati suara hati tuannya. 
Lelaki ajnabi akan tunduk daripada melabuhkan mata melihat tudung yang bersuara sedemikian. 

Lihatlah semula ke dalam cermin, apakah suara tudung kita?

Muslimah, tidak terikut-ikut mencuba fesyen baru. Tidak gusar menunggu akaun insta untuk jualan lelong. Tidak beratur panjang di hari pertama release mengorbankan waktu. Tiada resah, tiada gelisah dengan penampilannya. 

Muslimah, dia ada hujah kenapa dia memakai tudung.

Aisyah, lupakah akan janji kita pada Tuhan, hidup ini untuk mencari redha-Nya?

Muslimah, bahagia dengan catatan ikhlas berhijab, lebih bahagia daripada mendapat pujian dan perhatian.

Muslimah, menjadi qudwah. Mempunyai pendirian. Bukan menjadi mangsa fesyen dah trend semasa. 

Aisyah, tidak salah untuk cantik dan bergaya. Tapi, sedarlah, nak cantik nak tunjuk pada siapa? 

Malulah pada Tuhan...

Aku berkongsi lagi satu frasa, teori konsumerisme. Apabila kita sentiasa mencari jalan untuk upgrade dan update. Tidak pernah cukup dan berpuas dengan sesuatu keadaan. Al-Quran yang sedia suci bertulisan hitam putih, ditambah 'baik' menjadi versi perempuan, pelangi dan pelbagai hiasan. Begitu juga tudung. Sentiasa dicari jalan menjadi 'lebih baik'. 

Benar, lebih baik dari tampak fizikalnya, tapi masih kah ada ROHnya?

Sesuatu yang indah, andai tanpa roh, tanpa penghayatan, hanya akan mendahagakan jiwa. Pakai sekali cantik, mahu kelihatan cantik juga esok-esoknya. Ditambah bisik syaitan, ah, jadilah kita hamba konsumerisme. Selagi ada barang lebih baik, selagi itu mengejarnya. 

Aisyah, sentiasa doakan, hatimu tenang dengan redha Tuhan. 
Doakan, kecantikanmu ditambah hias dengan iman, terpelihara daripada hasutan syaitan. 
Doakan, kau diberi kesabaran, untuk terus menjaga kecantikan daripada menjadi tontonan. 

Sabarlah Aisyah, masanya akan tiba untuk kamu benar-benar terapung di alam pujian infiniti. 

Tinggalkan perkara haram, maka sesudah halalnya, moga ia menjadi milik kamu. 

Wahai anakku, bertakwalah kepada Allah dan usah kamu padamkan cahaya yang Allah kurniakan kepada kamu dengan melakukan maksiat. 
Ini nasihat iman Malik kepada imam as-Syafie, aku panjangkan kepada kamu. 

Semoga kita menjadi muslimah yang tudungnya membawa cahaya iman kepada wajah. 

Sahabatmu,
Aina."

Air mata mengalir dikesat perlahan. Betapa syaitan itu licik. Membuka jalan maksiat perlahan-lahan, topping maksiat di atas acuan syariat. 

Aisyah berdiri di hadapan cerminnya. Ayat-ayat Allah berputar di minda. Ayat peringatan yang dia dilupakan saat sibuk berhias diri mencuba tudung-tudung baru. 

"Dan pakaian taqwa adalah lebih baik..."
"Janganlah berhias seperti hiasan jahiliyah dulu..."

"Dan di antara manusia, ada yang menjual dirinya hanya untuk mencari redha Allah..."

"Wahai orang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar-benar taqwa, jangan kamu mati melainkan dalam keadaan berserah diri..."

Benar, pakaian luar ini ada suara. Jika tuannya benar salim dan berserah diri pada Tuhan, maka andai tiba matinya dalam pakaian itu moga-moga kematian yang mententeramkan. Bukan yang menyakitkan mata dan menyesakkan nafas.

'Aisyah, ingat mati!' Dia berpesan kepada diri. 
***
Selamat hari 20 ramadan. 
Teguran demi teguran dari Tuhan. 
Hanya tinggal aku yang tenggelam timbul dalam mencari penghayatan. 

No comments:

Post a Comment

Bila kita akan kembali

Hanya pada Allah tempat kita bergantung. Jika ditakdirkan kita hilang segalanya dalam dunia ini, atau kita yang menghilang, maka harta duni...