Friday, May 15, 2015

Mencari kematangan dalam cinta

- bismillah -

Alhamdulillah, hari ini ialah hari terakhir clinical rounds di hospital-hospital sekitar negeri ini. Menandakan sudah berlalu 3 major rounds, bermula dengan Internal Medicine, Paediatrics dan Surgery. Sekarang fatrah bersedia menghadapi peperiksaan (dan waktu-waktu beginilah saya suka menulis).

Jika disebut 'cinta' maka automatik dikaitkan dengan seseorang (bukan legal partner) dalam minda anda, maka tulisan ini untuk anda. 

Jangan terlalu mudah mengatakan 'dia untukku', sebelum kau melangkah ke syurga Tuhan. Walaupun telah berkahwin, dia masih bertaraf pinjaman. Bukan untukmu selamanya. 

Jangan terlalu mudah mengatakan 'dia untukku', kerana hidupnya ada takdir yang telah ditulis. Kau juga ada takdir tertulis. Boleh jadi esok lusa ialah masa akhirnya di sini. 

Jangan terlalu mudah mengatakan 'dia untukku', saat kau tahu dia meluangkan masa untukmu. Kerana itu sifat manusia seperti dia, di mana ada tanggungjawab di situ ada masa. 

Jangan terlalu mudah mengatakan 'dia untukku', walaupun kau menabur doa diiringi rindu tak berlagu, tersimpan hanya Tuhan yang tahu, walau muncul segala klu. Boleh jadi itu semua bayangan minda yang dirayu oleh nafsu. 

 Jangan terlalu mudah mengatakan 'dia untukku', hingga kau meminta-minta hanya dia untukmu. Takdir Tuhan lebih indah daripada pengetahuanmu. Rugi, kau menutup 'yang terbaik' untukmu kerana meminta hanya 'dia' untukmu. Jangan minta 'hanya dia' sedang kau tahu kau perlukan seinfiniti rahmat Tuhan. 

Jangan terlalu mudah mengatakan 'dia untukku', fikir-fikirlah apa yang kelak akan berlaku. Berubah hati, timbul diagnosis, hilang tanpa khabar, tak terjangka, hingga kau gila mencari-cari setelah kehilangan 'dia untukku'. 

Jangan terlalu mudah mengatakan 'dia untukku'. Jangan terlalu mudah mengiyakan semua kejadian sebagai 'petunjuk' doamu. Kau belum matang jika menilai dengan hati yang berbungkus rindu, terbalut kenangan yang bertamu. 

Nilailah dengan minda dan hati. 
Jangan terlalu mudah mengatakan 'dia untukku', nanti kau berharap sebuah harapan yang sampai tak sudah dipagar bisu. 

No comments:

Post a Comment

Catatan ramadan 1438H #4

- bismillah - So, right there in front of the kaabah i was standing as a poor girl. No phone, no money, nothing. I only had a bottle of zam...