Sunday, April 27, 2014

Mengharap manusia membalas rasa

- bismillah -

Dengan harapan kita menipu, 
Dengan harapan juga kita tertipu. 
Menipu diri sendiri menongkah logik,
Tertipu dengan masa yang sentiasa berdetik. 

"Perkara paling sedih dalam minggu ini ialah...."
Seorang sahabat memulakan bicara. 

Dan perkara yang diluahkan itu juga satu bentuk harapan, yang telah sampai ke penghujungnya. Pendek kata, harapan tinggal harapan. 

Saya belum jumpa kunci menghilangkan sedih andai menaruh harapan namun perkara sebaliknya pula timbul. 
Hendak dikatakan hafal quran kuncinya, ah sama saja saya lihat bagaimana sahabat2 huffaz tidak terkecuali untuk kecewa dengan harapan yang tak kesampaian. 

Menjadi diri yang satu ini, banyak menjadikan saya berasa kerdil. Betapa perasaan sendiri juga tidak mampu ditahan, apatah lagi menahan perihal orang lain. 

Kita diuji dengan sekecil-kecil perkara, hati dan perasaan sendiri, hinggalah sebesar-besar perkara. Tiada orang yang dapat memboloskan diri. Jika dia kuat melawan ujian besar, boleh jadi dia paling lemah berdepan ujian kecil. 

Pernahku terbaca,
"Wahai jibril, kirimkan ujian buat hamba-Ku ini, kerana Aku rindu mendengar pengaduannya."

Bersyukurlah. Kau dirindui oleh Tuhan yang maha Tinggi. Buangkan rindu kau pada manusia yang tidak bersahut itu. 

Perempuan. 
Lelaki. 
Semuanya tidak lepas diuji. 

Berdoalah moga rumah tangganya dinaungi Allah. 
Jika bukan takdirmu menjadi pendampingnya, hingga ke syurga, maka bawalah pendampingmu nanti berjiran dengannya di syurga. 
Di syurga tiada dendam, tiada khianat. 
Sama2 menikmati bahagia, sama2 menjadi ahli syurga. 
Dia dengan pasangannya, kamu dengan pasanganmu. 

Bawalah cinta yang disemai di dunia ini bersambung di akhirat. 

Kerana cinta adalah menginginkan kebaikan, biarpun tidak memiliki. 
Dan cinta Allah kepada hamba-Nya, melebihi cinta kita. Kerana kita sememangnya milik Allah. 

Sungguh, kesedihan dan kekecewaan itu hanya sehari dua. Lenyapkanlah marah dan cemburu. Biar dia tenang menghadapi hari bahagianya, kita tenang mendoakannya. 
Yang pasti, kita sentiasa mahukan kesudahan terbaik buat dua2 pihak. 

Berdoalah. Letakkan yakin dan setinggi harapan pada rahmat Allah, melebihi yakinnya kita pada amalan yang tak seberapa, untuk membeli cinta dan syurga Allah. 

:) mohonlah syurga Allah, lebih dari memohon dia untukmu. 


No comments:

Post a Comment

Serve the immediate community

- bismillah - This morning, i went to a private hospital to accompany my mom. I met a passionate consultant who's seeing my mom for her...