Sunday, October 27, 2013

Pei pan

Dia sudah pergi. 

Pak Said sangat mempercayai Hisham. Dia antara orang kepercayaan semua. Malah dia tahu selok-belok syarikat yang dibangunkan oleh Pak Said ini. 

Malangnya, seperti mana syarikat-syarikat lain, tiba satu masa yang amat menggentingkan. Syarikat itu menghadapi masalah ekonomi yang sangat besar sehingga terpaksa menghentikan operasinya. 
Berat Pak Said untuk memberitahu pekerja-pekerjanya bahawa mereka sudah tiada kerja!

Setelah disiasat, rupa-rupanya masalah ekonomi yang terjadi itu berpunca dari pekerja syarikat itu sendiri, sesuatu perkara yang sangatlah tidak dijangka. Lazimnya, sesebuah syarikat menghadapi masalah ekonomi hasil kesan turun naik pasaran, tapi perkara ini berpunca dari pihak dalaman yang tidak cekap mengendalikan tugas mereka. 

Tidak, bukanlah orang-orang kepercayaan yang berlaku khianat! 

Pak Said tidak menutup sepenuhnya operasi syarikatnya. Walaupun tidak menggaji pekerja, dia masih menjalankan perusahaannya itu. Baginya, syarikat hanya tempat, sedangkan bisnes boleh dilakukan di mana-mana. Tidak boleh rebah terduduk sedang ototnya masih kuat bertahan. 

Suatu hari, Pak Said duduk-duduk bermenung di sofa. Fikirnya, entah ke mana pekerja-pekerjanya telah pergi sekarang?
Mungkin ada yang masih menunggu panggilan darinya untuk bekerja semula?
Atau...
Ramaikah yang telah lari pergi ke syarikat lain?

Aduh, Pak Said mengurut perlahan dadanya. 

Teringat semasa upacara pecah tanah untuk pembukaan syarikatnya, dia dan beberapa orang harapannya telah berjanji di situ. Bersaksikan kesetiaan dan kepercayaan, mereka sama-sama bersumpah untuk berbakti dan menyumbang tenaga dan kehidupan masing-masing kepada kepentingan syarikat. Mereka berjabat tangan dengan erat, sementara renungan mata masing-masing menjanjikan kebersamaan. 

Pak Said tersenyum sambil perlahan melepaskan nafasnya yang sejak tadi tertahan di dada. 

Kesetiaan dan kepercayaan, masih adakah? Ataukah sudah terhapus sebaik anak mata terpejam pada setiap malam?

Murahnya perjanjian itu andai nilainya ialah memori, satu khazanah yang tidak akan hilang melainkan terhentinya masa. 

Hisham, di mana Hisham?

Suatu masa dulu, Hisham ada menghubunginya. 
Dia meminta Pak Said menolongnya untuk berbuat sesuatu, dan pertolongan itu hanya dia dan Pak Said sahaja tahu ceritanya. Ah, semuanya sungguh rahsia!

Tapi itu perkara sebelum syarikatnya ditutup. 
Kini, Hisham sudah lama tidak diketahui usul cerita. 
Entah masih kuat berusaha menjaga kepentingan syarikat atau bagaimana?

Pak Said terpandang kertas putih di atas meja kopi. Sepucuk surat atas nama Hisham. Ya, Hisham pernah menggunakan alamat rumahnya kerana Hisham dulunya menetap di situ!
Mungkin surat yang satu ini, terlupa untuk dia mengubah alamatnya. 

Surat dibelek. Di belakang tertulis gerangan si pengirim, sahabat karib rupanya. Patutlah dihantar ke alamat rumahnya, tidak seperti surat-surat rasmi yang lain. 

Surat itu ditelek lama. Tertulis di situ, 'kepada pengarah muda, Nor Hisham b Amri.'
Dari tadi Pak Said tidak mengubah pandangannya, hanya tertumpu pada sepatah kata 'pengarah'. 

Setahu dia, sewaktu bekerja di syarikatnya dulu, Hisham menjawat jawatan 'pengurus', bukan 'pengarah'. Atau, adakah Hisham mendapat jawatan baru di syarikat lain?
Hisham, ke manakah kau pergi?

Marahnya Pak Said menghilangkan amanah yang dijunjungnya. Lantas dia membuka surat di tangannya. Kasar. 
Bukan dia hendak tahu isi pesanan sahabat Hisham itu, tapi dia hanya mencari kepastian di sebalik sangkaannya. 

Panggilan telefon tiba-tiba menghentikan bacaannya. Surat tidak dilipat ke dalam sampul semula, dibiarkan terlangkup di atas meja. 
Telefon dicapai. 

Selang beberapa minit, Pak Said sudah meletakkan gagang telefon ke tempatnya. Perbicaraan tadi terlalu rahsia  untuk diceritakan. "Alhamdulillah," kalimah syukur itu terluah dari bibirnya. 

Dia kembali ke meja, mencari semula surat tadi. Aneh, sudah tiada dalam pandangan! Dia yakin, dia tidak menyimpan surat itu semula ke dalam sampulnya kerana hendak cepat-cepat menjawab panggilan telefon yang berdering. Namun, dalam hanya beberapa minit sekembalinya ke meja itu semula, surat itu hilang dari pandangan. Yang tinggal hanyalah sampulnya. Benar, dia bukan bermimpi!

Sudahlah, biarkan sahaja. Dia sudah pergi, hilang dibawa angin masa. Lenyap dari ufuk ingatan. Biarkan sahaja luka yang terhiris dengan ayat-ayat pujian dan tahniah dalam surat itu juga hilang dibawa angin. Bukan dia cemburu, bukan dia dengki, tapi Pak Said kecewa tertipu. 

Dia bukan dikhianati oleh Hisham, tapi terpedaya dengan janji semurah memori, terikat dengan setia sedalam renungan mata, tercengkam dalam eratnya sebuah jabat tangan. 
Padahal, semuanya bisa hilang pada setiap pejaman mata dek silau harta. 

Biarlah, usah diketahui isi surat itu.
Usah dicari ke mana Hisham. 

Ligat otaknya berfikir, dengan siapa mahu dia berkongsi berita pembukaan semula syarikatnya nanti? 
Lantas Pak Said menyarung kotnya, keluar ke bank menuntut pinjaman yang baru saja diluluskan. 

Dia sudah pergi. 

***
Pei pan ialah tajuk asal buku karya ram. 
Pei pan bermaksud pengkhianatan dlm bahasa cina. 
Haruslah ini disclaimer, tidak terlibat tulisan ini dengan mana2 pihak yang ada nama sama atau lain2 persamaan, semuanya tiada kaitan. 

No comments:

Post a Comment

Perempuan berkalung serban

- bismillah - Because i believe marriage is about growing each other's potential, Creating independence over dependence, Tolerance, p...